Salam

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته         Email: kafabt14puchong@gmail.com

Ahad, Disember 26, 2010

Kemasukan 2011 ke Sekolah KAFA

Assalamualaikum WBT,

Untuk makluman semua, persekolahan bagi tahun 2011 bermula pada 3hb Jan 2011. Pihak sekolah akan membuka kaunter pada 2hb Jan 2011 bagi tujuan ibubapa untuk membuat pendaftaran dan membuat bayaran bagi tahun 2011. Bermula jam 9 pagi pada hari Ahad tersebut, ibu bapa bolehlah datang terus ke sekolah untuk urusan terbabit.

Juga pendaftaran untuk tahun 1 masih lagi dibuka dan tempat adalah terhad .

Sekian untuk makluman.

Khamis, September 23, 2010

Solat Hajat Untuk Pelajar Tahun 6 (PSRA) dan Tahun 5 (UPKK)

Assalamualaikum,

Sekolah KAFA Batu 14 dengan kerjasama Masjid Batu 14 Puchong akan mengadakan bacaan surah yaasin dan solat hajat di Masjid Batu 14 seperti di bawah:

Tarikh:  23/9/2010
Masa: Mulai solat Maghrib

Kehadiran ibubapa dan semua muslimin dan muslimat amatlah dihargai, semoga dengan ini kejayaan anak-anak diberkati dengan pencapaian yang cemerlang.

Wassalam

Sabtu, September 04, 2010

Cuti Persekolahan & Cuti Sempena Hari Raya Aidil Fitri

Kepada
Ibubapa / Penjaga yang dihormati,

Tuan/Puan,
Merujuk perkara di atas,
  1. Cuti persekolahan & cuti sempena Hari Raya Aidil Fitribermula pada 04/09/2010 - 19/9/2010.
  2. Sekolah akan dibuka semula pada 20/9/2010.
  3. Sila pastikan anak tuan/puan hadir ke sekolah seperti biasa
  4. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah Integrasi Al-Thaqafah mengucapkan:
  "SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN"

Sekian untuk makluman tuan/puan
Yang benar
Guru Besar

Rabu, Ogos 18, 2010

Ramadhan al-Mubarak ya Marhaban...

Salam semua, sempena bulan Ramdhan yang kita semua tempuhi ini, pihak sekolah mengucapkan selamat berpuasa dan mohon kemaafaan daripada semua ibu bapa sekiranya terdapat kesilapan yang dilakukan sepanjang tahun .Semuga Ramadhan tahun ini membawa keberkatan kepada kita semua dan ianya lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Wassalam.

Sabtu, Mac 06, 2010

Peranan dan Tanggungjawab SAR KAFA (siri 2)

Saya percaya SAR Batu 14 ini diwujudkan untuk memenuhi harapan ibubapa dan kepimpinan Penduduk Puchong Batu 14 ketika itu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pembangunan di sekitar SAR batu 14 amatlah pesat. kalau dahulu ibubapa yang menghantar anak-anak ke SAR Batu 14 hanya mahukan anak mereka :

1.mengetahui asas-asas fardhu ‘ain
2.dapat mengamalkan segala fardhu ‘ain dengan sempurna seperti solat dan
berakhlak mulia serta menjadi anak yang bertaqwa.

Tetapi kini ibubapa mempunyai harapan tambahan:

3.cemerlang dalam peperiksaan seperti PSRA, UPKK dan lain-lain.
4.Terpilih ke sekolah agama menengah berasrama penuh yang berprestij.

Oleh itu, peranan dan tanggungjawab SAR Batu 14 untuk memenuhi harapan ibubapa yang tinggi ini dan sebagai satu usaha dakwah adalah satu tugas berat dan mencabar.

Tidak dinafikan ada ibubapa yang hanya sekadar, ‘melepas batuk di tangga’ dan tidak memberi harapan yang tinggi terhadap pendidikan agama malah menganggap SAR hanyalah pendidikan ‘2nd class’ tetapi golongan ini adalah minoriti. Ini dapat dibuktikan dengan pertambahan bilangan murid dan kewujudan SAR baru di sekitar Puchong Batu 14.

Banyak perkara perlu dilakukan dan semuanya memerlukan perancangan dan perlaksanaan yang benar-benar selari dengan harapan ibubapa ini. Semua pihak perlu memainkan peranan agar matlamat dapat dicapai dan segala-galanya memerlukan perancangan dan niat yang ikhlas.

Antara peranan penting SAR untuk memenuhi harapan ibubapa:

1.Menyediakan prasarana yang mencukupi dan sempurna untuk pengajaran dan pembelajaran seperti sekolah, kemudahan asas dan sebagainya
2.Menyediakan guru-guru yang terlatih dan berwibawa.
3.Mengujudkan suasana harmoni dan tenang supaya pelajar minat untuk belajar dan datang ke sekolah.
4.Menyediakan tatacara pengajaran dan pembelajaran yang berkesan termasuk silibus ya berkualiti.
5.Menyediakan perancangan yang teliti untuk dilaksanakan bagi mencapai matlamat ini.
6.Menyediakan kos pembelajaran yang kompetitif dan
7.Menghasilkan pelajar yang cemerlang ilmunya (dibuktikan dalam peperiksaan) dan berakhlak dalam semua aspek (dibuktikan dalam kehidupan harian)


(bersambung.....)
Hj Harun Noordin

http://annursp1.blogspot.com/

Harun Noordin

Ahad, Februari 28, 2010

Peranan SAR (Siri 1)

Tajuk: Peranan Tanggungjawab SAR KAFA (siri 1)

Pendidikan agama adalah satu keperluan dan ianya merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mendidik anak-anak supaya memahami perkara-perkara asas fardhu ‘ain agar anak-anak menjadi insan yang bertaqwa dan mampu menjadi hamba Allah yang kamil dalam menyempurnakan tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Tidak semua ibubapa mampu mendidik anak-anak dengan sempurna kerana beberapa faktor antaranya:

1.ketiadaan ilmu
2.ketiadaan masa
3.ketidak-upayaan mengajar
4.ketiadaan sumbersilibus, buku, suasana dan sebagainya.


Oleh itu, ibubapa menghantar anak-anak ke sekolah agama, walaupun mereka sedar anak-anak telah dibebankan dengan persekolahan konvensional di SRK. Amatlah tinggi harapan ibubapa kepada SAR agar dapat mendidik anak-anak mereka, walaupun terpaksa berkorban, wang ringgit, masa dan tenaga semata-mata supaya anak mereka cemerlang di dunia dan di akhirat.


Di antara harapan ibubapa kepada SAR agar anak-anak mereka:

1.mengetahui asas-asas fardhu ‘ain termasuk ‘ulumul-quran, bahasa arab, jawi dan lain-lain.
2.mengamalkan segala fardhu ‘ain dengan istiqomah dan sempurna
3.beraklak mulia dan mempunyai jati-diri sebagai seorang muslim (taqwa)
4.cemerlang dalam peperiksaan
5.terpilih ke sekolah agama menengah yang berprestij.

(bersambung.....)
Author :Hj Harun Noordin

Isnin, Februari 22, 2010

Sekadar Berkongsi...

Subjek: 11 jenis manusia didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman.. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar.. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."



2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"


3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."



4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."



6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.."



7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"



8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"


9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "



10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."



11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a..w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."



Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam.Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1431H

Pihak sekolah beserta dengan Masjid Bt.14 Puchong akan bersama-sama mengadakan majlis sambutan sempena maulidur rasul tahun ini. Seramai 50 orang peserta akan terlibat di dalam menjayakan beberapa program yang disusun antara lain persembahan nasyid dan juga perarakan.

Majlis akan bermula pada jam 8 pagi hari Jumaat 26hb Februari ini dan ibu bapa serta penjaga adalah dijemput untuk bersama-sama memeriahkan sambutan maulidur rasul 1431H.



"Syd.Othman Ibnu Affan Rha. berkata:

Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
• Hatinya selalu berniat suci
• Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
• Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
• Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah
• Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia"

Khamis, Februari 04, 2010

Sejarah Sekolah KAFA Bt.14

Penubuhan sekolah ini adalah pada Januari 1992 atas usaha dan keperihatinan penduduk setempat sekitar Batu 14 pada masa itu.

Bermula dengan seramai 42 orang pelajar dan dengan hanya 1 tenaga pengajar, sekolah KAFA ini diberi nama al-Thaqafah al-Islamiah. Al-Thaqafah bermaksud kelas bimbingan agama dan ianya bersesuaian dengan kewujudannya.

Bangunan asal sekolah ini adalah merupakan pejabat UMNO Cawangan Batu 14 dan dipersetujui oleh ahli-ahli untuk dijadikan bangunan sekolah KAFA.

Tapak bangunan sekolah KAFA ini adalah milik pihak Jabatan Hutan dan telah diberikan kepada Pejabat Daerah Petaling dan seterusnya membenarkan untuk digunakan sebagai tapak sekolah agama di Puchong ini.

Sekarang, setelah 18 tahun tertubuh, kita sepatutnya merasa bangga kerana sekolah ini masih lagi berdiri dan dapat kita semua memanafaatkan untuk pembelajaran agama anak-anak kita semua.

Ahad, Januari 31, 2010

Majlis Perjumpaan Ibubapa dan Pihak Sekolah KAFA Bt 14 Puchong




Alhamdulillah, pada hari ini 31hb Jan 2010, bertempat di dewan sekolah, seramai lebih kurang 90 orang ibu bapa telah hadir untuk majlis perjumpaan yang julung kalinya diadakan.
Tujuan perjumpaan diadakan adalah untuk mendapatkan maklumbalas dan pandangan daripada pihak ibubapa dan juga menjadi medan untuk pertukaran pendapat.

Hasil daripada perjumpaan hari ini adalah secara ringkas seperti berikut:-
1. Memorandum akan dibuat untuk dihantar ke pihak berwajib bagi mengambil tindakan ke atas gerai yang berada di tepi sekolah yang mana antara lain menjual barangan makanan yang didapati tidak berkhasiat dan juga menjual barangan mainan kepada terutamanya golongan sasaran iaitu murid-murid sekolah.Gerai itu juga telah mencacatkan lanskap sekolah dengan keadaan yang tidak teratur.

2. Ibu bapa berpendapat agar sekiranya yuran sekolah tidak dibayar, tindakan tegas seperti menggantung persekolahan pelajar perlu dilaksanakan setelah peringatan demi peringatan diberikan kepada ibu bapa.

3. Mengesyorkan agar diadakan gotong royong untuk membersihkan kawasan sekolah dan lanskap agar sekolah nampak lebih ceria dan mempunyai persekitaran yang cantik.

4. Cadangan supaya sekolah mengadakan tusyen untuk bahasa arab bagi bukan sahaja murid-murid tetapi juga untuk keseluruhan masyarakat amnya.

5. Cadangan supaya ibubapa menyumbang untuk pemakanan berkhasiat kepada pelajar-pelajar daripada membiarkan anak-anak membawa wang saku ke sekolah.

6. Cadangan supaya buku teks di kitar semula dengan menghantar ke sekolah kembali sekiranya buku-buku anak-anak tidak lagi digunakan (buku berkeadaan baik)untuk digunakan kembali dan juga bagi dilupuskan dengan secara baik (ayat-ayat Quran dsbnya).

Pihak sekolah dan PIBG mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih kepada ibu bapa yang perihatin dan telah hadir ke majlis tersebut.

Sabtu, Januari 30, 2010

Kecerian Sekolah










Pihak sekolah dan pihak PIBG amat mengambil berat berkenaan dengan kebajikan dan kesejahteraan para pelajar di sekolah KAFA Bt 14 Puchong ini. Sehubungan dengan itu, usaha-usaha sentiasa diambil bagi memperbaiki sebarang kelemahan di sekolah ini. Antara penambahbaikan yang telah dan sedang di ambil ialah seperti memasang atap pejalan kaki dan juga menaiktaraf tandas murid-murid dengan memasang jubin agar tandas lebih selesa.

Majlis Makan Malam AJK PIBG dan Tenaga Pengajar








Pada 26hb Jan 2010, pihak AJK PIBG dan para tenaga pengajar sekolah telah bersama-sama di dalam majlis makan malam anjuran AJK PIBG.
Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengiratkan hubungan silaturahim antara para pendidik KAFA Bt 14 dan juga AJK PIBG. Di samping itu ,semua pihak dapat juga berkenalan dan bertukar-tukar pendapat untuk bersama-sama berusaha untuk kebaikan sekolah.

Khamis, Januari 28, 2010

Assalamualaikum WBT.

Selamat datang ke blogspot Sekolah Agama Rakyat Al-Thaqafiah Al-Islamiah Bt 14 Puchong.

Blogspot ini masih dalam pembangunan. Sebarang sumbangan idea dan buah fikiran amatlah dialu-alukan.